Thursday 22 December 2016

Pasal ASB: Sedikit maklumat untuk dibaca

Assalamualaikum bloggers and readers..

Pulangan atasi kadar inflasi

Tahun 2016 bakal melabuhkan tirainya dan pasti ketika ini ramai ternanti-nanti jumlah agihan pendapatan yang akan diumumkan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Dengan jumlah pelabur sekitar 8 juta orang, sebanyak 26 peratus rakyat Malaysia melabur dalam ASB.

Justeru, sudah pasti agihan pendapatan ASB menjadi antara pengumuman yang amat dinantikan pelabur.

Sebagai pelabur, kita mengharapkan ASB memberi pulangan tinggi sama seperti tahun sebelum ini atau ketika era 90-an apabila dividen ASB sekitar sembilan hingga 10 peratus setahun.

Namun, sebelum berbicara lanjut mengenai pulangan ASB dan unjuran pulangannya tahun ini, lebih baik kita mengenali apa itu ASB dan sejarah penubuhannya?

ASB adalah unit amanah namun kerana cirinya yang unik seperti ditawarkan pada harga tetap RM1 seunit dan pelabur boleh melabur dan mengeluarkan wang pada bila-bila masa, ramai melihatnya seperti simpanan dalam bank.

Oleh kerana keupayaannya memberi pulangan purata sekitar lapan peratus sejak dilancarkan pada 1990, ASB dilihat mempunyai keupayaan luar biasa untuk memberi pulangan sedemikian setiap tahun kepada pelabur.

Namun di sebalik pulangan kompetitif setiap tahun, sebagai sebuah tabung unit amanah, prestasi dan pulangan tahunan yang diberikan ASB kepada pelabur pastinya menerima kesan daripada prestasi pasaran saham dan persekitaran ekonomi dalam dan luar negara.

Oleh kerana ASB berada dalam kategori tabung ekuiti, ia melaburkan kira-kira 70 peratus daripadanya dananya dalam pasaran saham dan sehubungan itu, sebagai pemegang unit amanah ASB, kita sewajarnya mengharapkan pulangan yang selari dengan prestasi pasaran saham dan persekitaran ekonomi negara pada tahun ini.

Namun, tahukah anda, ASB dan unit amanah harga tetap lain yang ditawarkan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah unit amanah yang tidak ditawarkan di mana-mana negara lain.

Seorang penasihat kewangan yang dihubungi berkata, masyarakat Bumiputera amat bertuah adanya ASB dan sewajarnya menggunakan peluang pelaburan itu untuk membina kekayaan dalam tempoh jangka panjang.

Seperti yang dinyatakan tadi, perkara paling menarik mengenai unit amanah harga tetap ini ialah modal pelabur kekal pada RM1 seunit berbanding unit amanah biasa yang harganya berubah setiap hari.

“Ini bermakna apabila melabur dalam ASB, pelabur menanggung risiko yang rendah kerana mereka tidak akan kehilangan modal pelaburan. Kehilangan modal pelaburan adalah risiko yang perlu ditanggung dalam semua pelaburan lain termasuk unit amanah harga berubah, pasaran saham dan emas.

“Pada masa sama, pelabur menerima agihan pendapatan yang boleh dikatakan tinggi berbanding instrumen lain yang sama cirinya seperti deposit tetap atau simpanan bank yang memberi pulangan antara satu hingga empat peratus,” katanya.

Pulangan ASB sentiasa mengatasi kadar inflasi semasa dan ia pasti membantu pelabur melindungi nilai wang mereka.

Pulangan ASB juga selari dengan kadar pinjaman bank (BR) yang ketika ini berada pada kadar purata 6.6 peratus.

Dengan kadar agihan pendapatan yang diterima setakat ini, pelabur sewajarnya mengekalkan pelaburan untuk jangka panjang dan melaburkan semula agihan pendapatan yang diterima untuk menggandakan pelaburan dengan lebih pantas.

Beliau berkata, mengeluarkan agihan pendapatan yang diterima tanpa sebarang keperluan mendesak menyebabkan pelaburan tidak berkembang sebaiknya.

Oleh kerana pelabur hanya menanggung risiko rendah apabila melabur dengan ASB, seharusnya matlamat jangka panjang seperti membina tabung persaraan menjadi pegangan pelabur.


Pada masa sama, pelabur juga boleh merealisasikan matlamat jangka sederhana seperti perkahwinan, membeli rumah, membesarkan perniagaan dan pendidikan anak dengan mengeluarkan jumlah yang diperlukan saja.

* bukan nukilan empunya blog. 
copy pasted...

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komen dan cadangan.... Please come again

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...