Friday 14 September 2012

“Seperti bayi yang akan berhenti merengek selepas dapat menyusu, begitu halnya juga dengan si suami yang akan layu apabila ‘disusukan’.”

Assalamualaikum bloggers,readers..

Ni ha... aku dapat email dari sahabat yang dok supply infor "nok-nok" haghi.

Cerita pasal pengorbanan blogger lagi ha..

Tapi aku nak highlight kan point lain...boleh?

Dipetik:

"Khabarnya ramai tersentuh dengan paparan muka depan terbitan sulung Sinar Harian Edisi Isnin, 10 September lalu.

Isteri saya, ketika mengulas kisah pasangan Abil - Fauziah menyifatkan kesetiaan Abil menjaga isterinya itu, “hanya satu dalam sejuta!”

Mujur dia tidak bertanya sama ada saya sendiri, andai ditakdirkan dengan nasib seperti itu, mahu jadi yang satu (seperti Abil) atau yang baki 999,999.

Jujurnya, saya tidak mampu jawab soalan seperti itu. Apa pun, minta dijauhkan ALLAH daripada sebarang dugaan yang ada kemungkinan kita tidak mampu menanggungnya.

Abil sememangnya seorang suami yang sangat istimewa.Malah, mahu dikatakan Abil sebagai satu dalam sejuta itu pun barang kali masih tidak cukup tepat. Jika dinisbahkan dengan 28 juta rakyat Malaysia, apa mungkin ada 28 lagi suami yang sesetia dan setabah Abil? Sedangkan bilangan isteri yang ditimpa musibah pada masa ini kita tahu bukan sedikit bilangannya.

Yang mungkin semakin ramai adalah lelaki yang jadikan isteri sebagai punching bag termasuk isteri yang mengandung sebagaimana heboh baru-baru ini.

Dalam pada itu, saya teringat akan satu laporan muka depan surat khabar tidak lama dahulu bahawa seorang wanita berusia 65 tahun yang punya 23 anak kononnya berkata: “Walaupun kegarangan suami boleh diumpamakan seperti harimau yang pantang dicabar, itu bukan bermakna mereka tidak boleh dijinakkan.

“Seperti bayi yang akan berhenti merengek selepas dapat menyusu, begitu halnya juga dengan si suami yang akan layu apabila ‘disusukan’.”

Memang. Memang tidak ada cacat celanya ayat itu. Isu seks sememangnya amat penting bagi suami isteri, terutama yang masih muda. Dalam usia 43, Abil masih boleh dianggap muda. Begitu juga saya yang baru 41.

Saya sendiri tidaklah berani hendak menafikan bahawa ayat yang saya petik itu sememangnya adalah ayat yang dituturkan oleh makcik itu untuk menceritakan kerukunan rumah tangganya yang sudah berusia 50 tahun.

Namun daripada ayat itu, mudah untuk kita tafsirkan bahawa kunci besar kebahagiaan rumah tangga dia dengan suaminya yang berusia 70 tahun adalah pada seks.

Namun apabila kita rujuk pada ujian yang dihadapi Abil, seks bukan lagi penting. Apa yang mengikat hatinya untuk kekal pada Fauziah ialah kasih sayang tulus ikhlas, yang dimantapkan dengan kenangan lama mereka ketika si isteri masih sihat.

Dan apa yang paling penting untuk kita sama-sama renungi ialah kata-kata Abil sendiri: “Perempuan berkahwin supaya ada seseorang untuk menjaga dia, saya hanya menjalankan apa yang jadi amanah saya.”

Dalam Islam, hubungan cinta dalam perkahwinan melalui dua peringkat iaitu peringkat yang pertama, ‘mawaddah’ dan peringkat yang kedua, ‘rahmah’.

‘Mawaddah’ adalah perasaan kasih sayang dalam hati suami isteri yang lahir selepas ijab kabul untuk menjalani hubungan dan perkongsian hidup yang sah secara lahir dan batin.

Ada pun ‘rahmah’ pula membawa maksud kasih sayang sejati, yang lahir secara ikhlas dari lubuk hati yang tidak lagi melibatkan rangsangan ataupun kehendak seksual antara satu sama lain. Dan ini biasanya dikaitkan dengan pasangan sudah lewat usia namun masih meniti perkongsian hidup bahagia.

Dan inilah juga yang kita lihat ada pada diri Abil meskipun dia belum lagi mencapai usia ‘persaraan’ mengikut kamus seksual rumah tangga.

Mengikut ulama, dari segi perbandingan, ‘rahmah’ darjatnya lebih tinggi daripada ‘mawaddah’ kerana tanpa bersulam seks, keikhlasan dan ketulusan kasih sayang adalah lebih jelas.

Jika mahu dinilai, pengorbanan Abil terhadap isterinya adalah melangkaui tahap itu lagi meskipun ada berita kurang enak bahawa selain ujian penyakit dideritai isterinya, Abil turut jadi mangsa individu yang entah apa sebabnya, berasa sakit hati dan meragui pengorbanannya pada Fauziah.

Semoga dia terus tabah menghadapi ujian dalaman dan luaran."

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komen dan cadangan.... Please come again

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...